Harian Metro (25/08/07)
KUALA LUMPUR: Persatuan Wawasan Warisan Wanita (Warista) meminta kerajaan dan badan korporat memberi perhatian serta sokongan kepada badan itu bagi merealisasikan usaha mengurangkan kadar pekerja seks dan penagih tegar di sekitar Jalan Chow Kit.Presidennya, Dr Mai Sargeant, berkata sehingga kini, pihaknya masih mencari tempat sesuai untuk dijadikan rumah perlindungan Warista.Persatuan yang didaftarkan sebagai badan bukan kerajaan (NGO) pada 19 Julai tahun lalu itu sudah melaksanakan pelbagai aktiviti termasuk mendekati golongan berkenaan bagi menerangkan kaedah menghindari jangkitan HIV, memberi kaunseling dan sokongan moral serta menyediakan peluang pekerjaan baru.
“Semua usaha ini dipacu bagi menyokong pekerja seks dan penagih supaya meninggalkan kerja di lorong gelap sekali gus menyediakan kehidupan baru yang lebih bermakna kepada mereka,” katanya ketika ditemui, semalam. Menurut Dr Mai, Warista berharap mempunyai pusat pemulihan yang dapat menampung keperluan golongan yang benar-benar mahu mengubah gaya hidup mereka.“Seboleh-bolehnya, kita mahu menarik golongan pekerja seks yang sudah berumur dan yang mempunyai anak untuk turut serta dalam program pemulihan ini nanti,” katanya.
Dr Mai berkata, kunjungan semula Warista ke Jalan Chow Kit baru-baru ini mendapati, golongan anak-anak pekerja seks semakin bertambah. “Mereka ini bukan saja terbiar tanpa pendidikan dan perhatian masyarakat, malah tidak memiliki pengenalan diri. “Ini bukan saja mendorong kepada masalah sosial pada masa akan datang, malah menggelapkan masa depan kanak-kanak tidak berdosa untuk mendapatkan pendidikan, rawatan kesihatan dan perhatian sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata, kebanyakan golongan berkenaan mempunyai cita-cita untuk berubah, tetapi ia disekat dengan sikap keras hati masyarakat yang enggan mengiktiraf hak mereka sebagai manusia biasa. “Justeru, kami harap, dengan adanya pusat pemulihan itu nanti, mereka boleh diberi didikan semula untuk menjana pendapatan sendiri dalam beberapa bidang sedia ada seperti kelas jahitan yang dikendalikan Bumiputera Designer Association (BDA) dan beberapa kelas kemahiran lain,” katanya.
Saturday, 25 August 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment