Wednesday, 25 August 2004

Rogol isteri (Marital rape)

Saya ingin mengulas mengenai laporan “Salah suami ‘rogol’ isteri – Suhakam anggap seks di luar kerelaan langgar hak asasi” (Utusan Malaysia 21/8), rencana Awang Selamat (22/8) dan rencana Mazin Noordin bertajuk “Jangan ungkit hak asasi perkahwinan” (23/8). Sebagai seorang lelaki Muslim yang sudah berumahtangga, saya sangat bimbang dengan pendapat yang dikemukakan tentang isu hubungan seks tanpa kerelaan isteri

Kenyataan Mazin dalam rencananya bahawa “apabila seorang wanita merelakan diri dikahwini, bermakna dia merelakan hubungan seksual” bukan sahaja pandangan simplistik dan merbahaya malah ianya meletakkan maruah dan nilai wanita sekadar objek seksual bagi kaum lelaki.

Persoalannya adalah: adakah kita merestui penggunaan keganasan bagi memaksa isteri melakukan hubungan seks walaupun tidak dipersetujuinya? Atau adakah keganasan seksual itu berhenti secara automatik di tangga perkahwinan? Adakah suami isteri bebas daripada melakukan keganasan dan penganiayaan kepada satu sama lain? Adakah keganasan seksual tidak wujud dalam konteks perkahwinan? Sekiranya seorang wanita tidak mahu melakukan seks tetapi dipaksa juga untuk melakukannya, bukankah itu rogol namanya? Hakikatnya tiada perbezaan diantara keganasan seksual yang berlaku di luar atau dalam perkahwinan.

Keganasan seksual yang berlaku dalam rumahtangga tetap keganasan dan salah dari segi undang-undang dan hukum syarak. Ini bukanlah mengenai siapa nak jadi pemimpin keluarga dan hak penjagaan anak seperti dibandingkan dalam rencana Mazin, tetapi mengenai memberikan perlindungan kepada isteri sebagai seorang manusia.

Tentunya Mufti Perak menyokong kenyataan bahawa Islam bukanlah sebuah agama yang mengenai penganiayaan dan kezaliman tetapi mengenai keadilan dan kesaksamaan hak. Ia menggariskan hak-hak asasi bagi kesejahteraan dan perlindungan kedua-dua suami dan isteri dalam konteks perkahwinan.

Walaupun hukum sudah menggariskan batasan dan manusia sepatutnya mengawal dirinya tanpa undang-undang, bolehkah kita menjamin bahawa semua suami berkelakuan baik dalam perkahwinan dan mengikut hukum syarak? Sekiranya ya, mengapakah begitu ramai lelaki yang merogol juga dari kalangan mereka yang sudah berumah tangga? Adakah salah isteri mereka yang mungkin tidak memenuhi kehendak seksual suami? Janganlah kita mengambil pandangan yang simplistik dan tidak realistik tanpa mengambilkira erti keadilan dari segi undang-undang dan hukum bagi beratusan isteri yang sudah lama menderita.

Isu ini bukanlah mengenai SUHAKAM yang dituduh mempromosikan pengaruh atau nilai-nilai Barat, tetapi mengenai perlunya perlindungan dan keadilan untuk wanita bagi mencegah penganiayaan dan kezaliman akibat keganasan seksual yang hakikatnya berlaku di kalangan masyarakat Malaysia.